bubble cursor

Friday, 23 December 2011

cerpen

BAB SATU – Cerita Aneh Dari Melaka


Khairi Fatwa memberhentikan basikal lumbanya di sebelah Encik Don yang sedang termengah-mengah berdiri di tengah jalan.

“Kenapa Encik Don?” tanya Khairi sambil memandang ke arah pintu utama Surau Asy-Syakirin. Kaki kirinya menjejak tanah manakala kaki kanannya masih di pedal kanan basikal. Kong basikal ‘racing’ kesayangannya kelihatan berkilau dalam malam yang tidak berapa pekat itu.

“Tak budak apa-apa!” balas Encik Don walaupun bahu dan dadanya masih berombak kencang, wajahnya menggambarkan ketakutan dan matanya menyorot tepat ke susuk Pak Said yang berdiri gagah di pintu masuk surau. Dalam genggaman Pak Said ternyata sebilah parang pemotong daging. Orang-orang surau semakin ramai yang keluar tetapi tidak berani menghampiri.

“Pandai cakap sangat, mai lah kalau berani! Nak tengok apa jadi, mai lah!” jerit Pak Said.

Dari jauh Khairi dapat melihat tangan dan badan Pak Said menggeletar dengan warna, bau dan aura kegeraman yang sangat tinggi. Kalau didapatnya Encik Don, boleh jadi ditetaknya. Pak Said yang baru berhijrah dari alam jahiliyyahnya dan berjinak-jinak dengan jemaah Tabligh dulunya memang terkenal dengan pergaduhan demi pergaduhan. Masuk keluar lokap perkara biasa. Masuk keluar penjara pun sudah beberapa kali.

“Sudah lah tu Iddd...benda sikit-sikit saja! Sudah, sudah!” pujuk Pak Mud dari pekarangan surau. Beberapa orang jemaah lagi turut bersuara tetapi tidak dihiraukan Pak Said. Pak Said terus memekik-mekik mengancam Encik Don. Khairi yang berada di sebelah Encik Don berasa seolah-olah dia turut dimarahi oleh Pak Said kerana Pak Said melihat dan menunjuk-nunjuk ke arah mereka berdua. Namun begitu Khairi tidaklah gentar kerana dia memang baik dengan Pak Said. Takkanlah Pak Said akan mengapa-apakannya.

Sebuah motosikal melewati kami dan terus berhenti dalam jarak lebih kurang sepuluh kaki dari Pak Said. Penuh tempat duduk motosikal itu kerana yang menunggangnya ialah Pak Ba. Badannya gempal dan besar. Berkulit gelap dan kepalanya hampir botak semua. Memang otai jugalah dalam dunia persamsengan. Haris yakin, tentu ada orang yang pergi memanggil Pak Ba setelah timbulnya kecoh-kecoh di surau.

Pak Ba turun dari motosikalnya dan cuba memujuk Pak Said.

“Woi Id, udah lah tu! Sabor Id sabor! Dah dah dah!” kata Pak Ba yang tetap dalam jarak lebih kurang sepuluh kaki. Jarak yang selamat jika terjadi sesuatu yang tidak diingini. Khairi yakin Pak Ba sanggup bertembung dengan Pak Said sekiranya keadaan memaksa, tapi tentunya jalan penyelesaian secara aman jadi matlamat utama.

“Aku nampak hang sekali lagi siap!” ancam Pak Said kepada Encik Don. Dia memalingkan tubuhnya dan bergerak ke arah belakang surau. Anginnya mereda dan orang ramai menghembuskan nafas kelegaan. Beberapa orang kelihatan menggeleng-gelengkan kepala.

Khairi pun tidak berminat untuk menunggu lebih lama lagi kerana tidak nampak tanda-tanda Encik Don mahu bercerita. Mata Encik Don masih memancarkan cahaya kewaspadaan. Kemudian Encik Don bergerak perlahan-lahan ke arah rakan-rakannya yang sudah keluar dari surau ke jalan.

Malam itu surau Kampung Potong Pinang ‘panas’ sekejap. Surau baharu yang selalunya aman dan hening itu menjadi saksi kepada satu drama sebabak. Dewan orang ramai, kedai runcit Haji Mahmud dan rumah Ustazah Nab yang menjadi penunggu sejati simpang empat surau kampung bertuah ini mahu tidak mahu terpaksa menjadi saksi juga kerana peristiwa tadi berlaku betul-betul di hadapan halaman mereka.

Khairi mengayuh basikalnya ke arah tembok kedai mamak yang setiap malam menjadi tumpuan para pemuda untuk melepak. Ada lima tembok tepi jalan di simpang empat kedai mamak, dicampur dengan pangkin dan kaki lima kedai runcit itu, sesuai untuk mengumpulkan puluhan pemuda pada setiap malam. Satu suasana biasa pada malam-malam tahun 80-an di Kampung Potong Pinang.

Cukup lapan kali kayuh sampailah ia ke sekumpulan pemuda di tembok. Persekitaran yang gelap tidak menghalang matanya daripada mengecam Seman. Seman sedang berdiri bercekak pinggang. Bukan apa-apa, memang gayanya begitu, suka bercekak pinggang.

“Pasai apa tadi tu ha?” tanya Khairi kepada Seman. Dia tahu, Leman pasti ada maklumat kerana Seman pun baru pulang dari surau.

“Tak tau lah,” kata Seman pada awalnya, tapi kemudiannya dia mula menyusun ayat demi ayat dengan nada berhati-hati mengisahkan ehwal yang berlaku.

Menurut Seman, selepas solat tadi ada sedikit persediaan untuk kenduri kecil di surau itu selepas Isya’ nanti. Pak Said tidak berpuas hati dengan Encik Don yang pandai bercakap dan mengarah itu ini tetapi tidak buat apa-apa kerja pun. Padahal Encik Don salah seorang ‘elder’ karkun di daerah Taiping ini. Sepatutnya dia menunjukkan contoh yang baik dengan menggunakan kaki dan tangan, tidak sekadar mulut dan lidah. Kena pula dengan Pak Said yang panas baran. Apa lagi... meletuplah!

“Woih, tughun lah! Tak laghi ke mana basikal hang tu. Aku ada hai sikit nak sembang dengan hang ni!” kata Seman. Khairi pun mengangkat kaki kanannya tinggi melampaui tempat duduk basikal, mendaratkan kaki berbalut seluar hitam ala jeans itu ke jalan tar lalu menyorong basikalnya ke tepi tiang elektrik bersebelahan tembok.

“Jom kita pergi dok kat tepi rumah Hakim. Sedap sikit nak bersembang,” kata Seman sambil mula melangkah menyeberangi jalan tar selebar lebih kurang dua belas kaki itu. Khairi menurut dari belakang. Mereka melabuhkan punggung bersauhkan kaki di tembok kecil kaki lima rumah Hakim.

“Hah, apa hai?” tanya Khairi.

“Cerita dia macam ni.......,” Leman membuka tudung saji bicara untuk menjamu hidangan maklumat yang sangat penting buat Khairi Fatwa.

@@@@@@@@@@

Kitab Sejarah Melayu susunan Tun Sri Lanang menyatakan sebuah kisah...

Maka kedengaranlah ke Melaka (akan) Cau Pandan anak Bubunya akan dititahkan menyerang Melaka.Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab namanya disebut orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana tuan itu pergi, panah itu dibawanya.

Maka tatkala itu tuan Sidi Arab itu pun menghadap Sulatan Muzaffir Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau Cau Pandan!”

Maka Sultan Muzaffir Syah pun tersenyum, maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab, “Jikalau sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah tuan keramat.”

Adapun Cau Pandan itu lagi di benua Siam, maka berasa kepada dadanya seperti kena panah, maka Cau Pandan pun sakit muntahkan darah lalu mati. Maka tidaklah jadi Siam menyerang Melaka, sebab mati Cau Pandan itu. Maka itulah diperbuat orang nyanyi :

Cau Pandan anak Bubunya,

Hendak menyerang negeri Melaka;

Ada cincin berisi bunga,

Bunga berladung si air mata.

Syahadan maka kedengaranlah ke Melaka bahawa Cau Pandan sudah mati, sakitnya muntahkan darah, dadanya seperti kena panah. Telah Sulatan Muzaffir Syah mendengar khabar itu, maka titah baginda, “Sungguhlah Tuan Sidi Arab ini hamba Allah keramat.”

@@@@@@@@@@

“Aku tahu cerita ni, Piyan ada cerita kat aku dulu. Dia kan suka kaji sejarah-sejarah ni?” kata Khairi. Rakan mereka si Piyan tu memang ulat buku, bahkan hantu buku.

Sambungnya lagi, “Awat hang buka cerita sebelum zaman Tok Nadong ni Seman?”

“Macam ni..........” Seman memantau ke serata arah dengan matanya. “Bismillahirrahmanirrahim,” Seman bermuqaddimah.

@@@@@@@@@@

Khabarnya, tiga minggu selepas kematian Cau Pandan di Siam, cerita kekeramatan Sidi Arab pun sampai ke pendengaran Raja Bubunya. Raja Bubunya sangat murka lalu meminta agar didatangkan beberapa orang sami yang mahir dengan ilmu-ilmu luar biasa. Dia memerintahkan mereka membalas perbuatan Sidi Arab dengan menghantar pukulan jarak jauh juga agar nyawa Sidi Arab terpisah daripada tubuhnya. Namun begitu para sami pilihan itu menyatakan keengganan mereka kerana khuatir seandainya Sidi Arab mengetahui lebih awal ataupun terselamat, pasti dia ‘memanah’ Raja Bubunya pula. Raja Bubunya terpaksa membatalkan rancangannya.

Atas nasihat para pembesar, dia menghantar panglimanya yang bernama Cau Santan ke Melaka untuk membunuh Sidi Arab. Cau Santan singgah di Kedah, sebuah negeri naungan Raja Bubunya lalu mengambil tiga orang pendekar Melayu Kedah sebagai ahli pasukannya. Cau Santan terpaksa mengambil orang Melayu Kedah kerana ketidakfasihannya berbahasa Melayu. Mereka berempat pun menyamar sebagai pedagang lalu belayar ke Melaka.

Tiba di Melaka, mereka terus mencari maklumat tentang keberadaan Sidi Arab. Mereka mendapat tahu yang Sidi Arab biasanya akan duduk berzikir dan membaca Al-Quran selepas solat fardhu Asar di masjid. Sebaik-baik sahaja jemaah bersurai, mereka berempat menyerbu masuk menyerang Sidi Arab.

Sidi Arab tidak terlawan keempat-empat orang sekaligus dan hampir-hampir berjaya dibunuh. Sungguhpun begitu, dia berjaya mencederakan salah seorang Melayu Kedah. Dengan kuasa Allah, Tun Umar lewat datang berjemaah pada hari itu. Tun Umar terdengar ribut-ribut dalam masjid. Dia pun melompat masuk. Terpandang sahaja ‘hidangan’ di depan matanya, Tun Umar pun menggila dengan ilmu perangnya. Siapa tidak kenal Tun Umar, orang yang pergi berseorangan pada waktu malam menterbalikkan perahu-perahu angkatan Siam yang mahu menyerang Melaka.

Tun Umar berjaya membunuh seorang Melayu Kedah menggunakan pedang yang dibuat tongkat oleh khatib ketika berkhutbah pada hari Jumaat. Melihat keadaan yang semakin berpihak kepada Sidi Arab dan Tun Umar, Cau Santan dan seorang lagi melarikan diri.

Sidi Arab turut mendapat kecederaan tetapi tidaklah parah.Dia cuba mendapatkan maklumat daripada seorang penyerang yang cedera tetapi Tun Umar yang sudah hilang pertimbangan terus sahaja menebaskan pedang khatib ke arah leher penyerang. Sidi Arab agak kecewa kerana gagal mengenali penyerang-penyerangnya namun sangat bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Tun Umar yang memperjudikan nyawanya membantu.

Selepas bersoal-jawab dengan orang ramai yang datang mengerumuni masjid, barulah Sidi Arab tersedar bahawa busurnya sudah hilang. Tidak lain tentunya kerja dua penyerang yang melarikan diri tadi. Oleh kerana tidak tahu identiti para penyerangnya, Sidi Arab menganggap busur itu tidak akan dapat dimilikinya lagi.

Dua pekan kemudian, Sidi Arab sudah bersiap untuk meninggalkan bumi Melaka. Sebelum itu dia menghadap sultan buat kali terakhir. Ketika itulah dia membuka cerita tentang keajaiban busur dan anak panahnya.

@@@@@@@@@@

“Subhanallah... berpeluh aku dengaq cerita hang! Memang sempoi malakendoi. Aku terbayang betul-betul macam berlaku kat depan mata aku ni semua benda yang hang ceghita tadi,” cetus Khairi Fatwa apabila Seman berhenti agak lama.

Nun di tembok seberang sana jalan, semakin ramai pemuda berkumpul. Begitulah suasananya, lagi menjelang lewat malam, lagi ramai yang datang melepak. Kedengaran bunyi gitar tong petikan Nan Che Arah memperdengarkan irama lagu “Alam Barzakh” bawaan kumpulan Wings. Penyumbang suaranya pula ialah Usin Pak Hassan. Penduduk kampung ini sudah lali dengan sorak bising budak-budak muda di tembok, jadi mereka buat ‘bo layan’ sahaja. Pernah Khairi bangun hendak bersahur pada bulan Ramadhan, dia masih terdengar suara Mat Sani ‘tarik’ lagu “Bujang Senang”. Bayangkanlah, pada dua pertiga malam bulan Ramadhan dihiasi dengan lagu ‘power’ sebegitu!

“Woih, awat hang dok diam pulak? Sambung lah lagi,” cetus Khairi.

“Daak... aku ingat... elok kalau kita kongsi ceghita yang aku nak bagitau ni dengan Piyan sekali. Banyak benda dia boleh tolong nanti,” balas Seman. Tangan kanannya menampar belakang leher, mensasarkan nyamuk berdengung yang sejak tadi sesekali turut melagukan “Alam Barzakh” ke telinganya.

“Aku pun ghasa macam tu jugak. Boleh pakai jugak oghang tua tu, banyak ilmu dia.”

“Eh, jom kita pergi minum kat kedia Che Pa! Kita sambung ‘story’ kat sana?” ajak Leman.

“Jom. Aku pun ada hai nak jumpak Nondi ni. Dia tiap-tiap malam lepak sana. Dia ada tanya aku haghi tu pasai maklekat. Aku dah dapat jawapan dia. Nak bagitau kat dia lah ni.”

“Hah, elok aa! Jom!”

No comments:

Post a Comment